Kajian ekuiti telus
Kajian ekuiti telus
“Kerajaan memang telus. Janganlah ada sindiran yang kerajaan ini tidak telus dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Aidilfitri dan Deepavali di Hentian Duta di sini, semalam.
Najib diminta mengulas desakan Gerakan supaya EPU mendedahkan metodologi yang diguna dalam menentukan peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera bagi tujuan mempertahankan integriti kerajaan.
Kelmarin, Dr Lim berkata, pendedahan itu perlu kerana Gerakan berpendapat ada yang tidak kena dengan angka 18.9 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera berikutan ia tidak menampakkan sebarang peningkatan berterusan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi itu juga mahu EPU mengeluarkan angka penguasaan Bumiputera dalam bidang ekonomi sejak DEB diperkenalkan.
Najib menegaskan kerajaan tiada masalah untuk mendedahkan kaedah berkenaan kerana EPU membuat kajian berasaskan penelitian yang objektif.
Najib turut menjelaskan peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera itu diperoleh berdasarkan angka keseluruhan, bukan angka yang diubah suai untuk kepentingan mana-mana kaum atau masyarakat.
Isu itu mula dibahaskan apabila laporan Kajian Pusat Dasar Awam (CPPS) yang dikeluarkan Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia (Asli) mendakwa pemilikan ekuiti Bumiputera sudah mencapai 45 peratus, sedangkan angka rasmi kerajaan ialah 18.9 peratus.
Bagaimanapun, Asli kemudian memohon maaf berhubung laporan itu dan Presidennya, Mirzan Mahathir menjelaskan kajian Asli menggunakan andaian yang salah yang akhirnya menghasilkan kesimpulan yang tidak tepat.
Pengarah Pusat Pengajian Dasar Awam Asli, Dr Lim Teck Ghee, yang mengetuai kajian berkenaan, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai mempertahankan kajian itu.
Berhubung pelantikan Menteri Luar Korea Selatan, Ban Ki-moon sebagai Setiausaha Agung baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Najib berkata, Malaysia percaya Ban dapat menangani beberapa isu membimbangkan termasuk krisis di Asia Barat dan masalah nuklear Korea Utara.
Sementara itu di KOTA KINABALU, Najib mengingatkan semua pihak supaya tidak mudah melatah setiap kali mendengar komen atau pandangan orang luar berhubung corak pentadbiran kerajaan.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, keadaan itu seharusnya mengukuhkan kepercayaan rakyat bahawa konsep Barisan Nasional (BN) yang menjadi amalan hampir separuh abad lamanya adalah kaedah terbaik dalam menguruskan negara.
Justeru, katanya, corak pentadbiran dan amalan berkongsi kuasa mengikut acuan BN sedia ada akan dikekalkan kerana ia terbukti membawa pelbagai kejayaan buat Malaysia.
"Itu sebabnya kita kurang senang jika ada orang luar buat komen seolah-olah mereka lebih mengetahui mengenai kita sedangkan kita sebenarnya yang lebih memahami negara sendiri.
"Bukan kita angkuh atau sombong, malah kita tetap memiliki perasaan merendah diri tetapi hakikatnya kita tahu apa yang terbaik buat Malaysia.
"Lihat saja kejayaan yang dikecapi… jika negara itu lebih kecil, jangan dibandingkan dengan Malaysia yang jauh lebih kompleks," katanya berucap selepas majlis berbuka puasa bersama Umno Sabah di sini, malam tadi.
Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dari Rumah Anak Yatim Yayasan Suria Tuaran dan Al-Aman, Beaufort.
Hadir sama Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Musa Aman dan pemimpin Umno Sabah pelbagai peringkat.
Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, proses rundingan hati ke hati berasaskan konsep masyarakat majmuk yang menjadi pegangan sejak sekian lama juga ternyata berkesan menyelesaikan apa juga masalah yang timbul.
Sehubungan itu, katanya, hanya perkongsian kuasa yang berupaya menjamin negara mencapai kejayaan berterusan berikutan wujud persefahaman dan sikap bertolak-ansur tanpa prasangka di kalangan rakyat berbilang kaum.
Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Tanpa Izin berkata, kerajaan akan mencari jalan bagi meningkatkan kerjasama dengan negara jiran supaya mereka menerima rakyat masing-masing yang berada di Malaysia secara haram.
"Kita akan cari jalan terbaik dan pada masa sama kita tingkatkan juga penguatkuasaan dengan menggerakkan sepenuhnya pasukan keselamatan termasuk Rela dan Rukun Tetangga (RT)," katanya.
FAKTA NOMBOR
Peratusan ekuiti Bumiputera
18.9 - Angka kerajaan
45 - Kajian Asli
