My Miscellaneous Page

October 4, 2006

Alasan Lee Kuan Yew ditolak

Alasan Lee Kuan Yew ditolak


Malaysia tidak anggap surat Menteri Mentor Singapura permohonan maaf
Rabu, 04 Oktober 2006
PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) menolak alasan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, berhubung kenyataannya bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil maklum surat penjelasan Lee, tetapi apa pun alasan diberi, kenyataan seumpama itu boleh menghasut perasaan perkauman.

“Saya menerima surat beliau dan memahami isi kandungan surat itu, dan saya sudah mengambil maklum mengenainya. Apa pun alasan diberi, kenyataan seumpama itu boleh menghasut perasaan perkauman.

"Saya tidak bersetuju, saya tentu saja menolak alasan kenapa beliau membuat kenyataan itu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat dengan ulama di pejabatnya di sini, semalam.

Abdullah menegaskan demikian ketika didesak wartawan sama ada beliau menerima permohonan maaf Lee dalam surat yang dihantar menerusi Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, T Jasudasen, kelmarin.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Malaysia tidak menganggap surat penjelasan Lee sebagai surat permohonan maaf.

“Ia bukan memohon maaf kerana Lee menyentuh mengenai kenyataannya sebelum ini. Lee hanya berkata maaf kerana menimbulkan ketidakselesaan (kepada Perdana Menteri), bukannya memohon maaf kerana kenyataan yang dibuatnya itu… ini dua perkara berbeza,” katanya.

Syed Hamid yang ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama kakitangan Kementerian Luar, berkata Lee mungkin mahu menerangkan kepada rakyat asing pada majlis yang dihadirinya, tetapi kenyataannya menyentuh perasaan rakyat negara ini.

“Kenyataan yang dibuat di depan rakyat asing boleh menimbulkan salah faham dan walau bagaimana sekalipun ia dibuat, ia tetap menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat,” katanya.

Kelmarin, Lee dalam suratnya kepada Abdullah dilaporkan meminta maaf kerana menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri berikutan kenyataannya bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Lee, 83, juga menjelaskan beliau tidak berniat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi atau menghasut orang Cina di Malaysia. Penjelasan itu dibuat sebagai membalas surat Abdullah minggu lalu yang meminta Menteri Mentor Singapura itu menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.

Komen itu mendapat bantahan di Malaysia dan Indonesia dengan Kementerian luar kedua-dua negara memanggil duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Lee itu.

Abdullah yang terus didesak wartawan sama ada beliau menerima permohonan maaf Lee, berkata: “Saya sudah mengambil maklum mengenai apa yang beliau (Lee) telah katakan dalam surat itu, semua yang telah dinyatakannya.

"Tetapi biarlah saya kata begini… kenyataan (Lee) yang dibuat di Singapura itu tidak wajar dan tidak dihargai."

Perdana Menteri menegaskan kenyataan Lee pada 15 September itu tidak sepatutnya diutarakan dan beliau berharap perkara itu tidak diulang.

Abdullah percaya kenyataan Lee mengenai bagaimana Malaysia melayan masyarakat Cina itu tidak menyumbang kepada hubungan kejiranan yang baik.

“Adalah penting untuk mengingati perkara itu. Jadi saya fikir adalah penting beliau memastikan beliau tidak membuat kenyataan seumpama itu lagi,” katanya.

Diminta mengulas lanjut, Abdullah berkata: “Ia boleh menghasut rakyat dan reaksinya mungkin tidak elok.”

Beliau juga enggan menjawab pertanyaan lanjut mengenai surat Lee itu kerana tidak mahu ia menjadi perbahasan.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Taib, dalam satu kenyataan pula meminta Lee menarik balik kenyataannya dan bukan memburuk pemimpin negara ini.

“Tindakan Lee menghebahkan kepada umum berhubung masalahnya dengan bekas Perdana Menteri, memberikan gambaran pemimpin Malaysia, pemimpin Umno dan orang Melayu suka menimbulkan masalah,” katanya sambil menyifatkan perbuatan Lee itu sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya diluahkan seorang pemimpin negara jiran.

Ini kerana, katanya, pemimpin yang menjadi Perdana Menteri Malaysia, dipilih ahli Umno serta seluruh rakyat pelbagai kaum secara demokrasi.

Beliau berkata, tindakan Lee mengheret bekas Perdana Menteri dalam isu ini adalah satu cubaan menangguk di air keruh terhadap iklim politik di negara ini.

“Sesungguhnya ini bukan satu pendekatan yang bijak. Lee sepatutnya sedar yang masalah dihadapinya itu adalah disebabkan tuduhan rambang yang dilakukannya,” katanya yang mahu Lee mengakui kesilapannya.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad juga berkata surat penjelasan Lee sebenarnya satu sindiran seolah-olah orang Malaysia dan Indonesia amat takut kepada bangsa Cina dan Singapura.

“Penjelasan Lee itu sama seperti beliau melayan orang Melayu di Singapura,” katanya sambil menyifatkan pendekatan Lee itu tidak akan menyelesaikan masalah, malah makin memburukkan keadaan.

Katanya, Lee sudah ketinggalan 40 tahun ke belakang dan beliau hanya merugikan rantau ini kerana pendapatnya yang bongkak, ketinggalan dan perkauman.

Comments

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Sorry, the comment form is closed at this time.

Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Jay of onefinejay.com