My Miscellaneous Page

July 20, 2006

BH July 20: Saya tak ada masalah dengan Dr M: Abdullah

Filed under: Scenic Bridge

Saya tak ada masalah dengan Dr M: Abdullah


PM tegaskan hikmah kerajaan tidak sama hikmah individu
PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun bekas perdana menteri itu melemparkan kritikan keras terhadap kepemimpinannya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak menyimpan perasaan benci terhadap Dr Mahathir dan setiap kali bertemu, mereka akan bertegur sapa serta berbual apabila ada kesempatan.

“Mengapa perlu saya menyimpan perasaan benci terhadap sesiapa saja,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Perdana Menteri yang ditanya mengenai hubungannya dengan Dr Mahathir sekarang, juga berkata, ketika menghadiri satu forum di Tokyo baru-baru ini, beliau mengambil inisiatif menemui bekas perdana menteri itu.

Abdullah berkata, beliau menghubungi pegawai Dr Mahathir bertanyakan sama ada bekas perdana menteri itu ada masa berjumpanya.

“Bukan saya suruh dia datang jumpa saya. Saya (pergi) jumpa dia, sebagai silaturahim, bertanya khabar,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menemui Dr Mahathir untuk menyelesaikan perbezaan pendapat antara mereka, Abdullah berkata: “Saya memang sudah berbuat demikian. Saya fikir ini bukan satu masalah.”

Mengulas cadangan melantik orang tengah bagi menyejukkan keadaan antara beliau dan Dr Mahathir, Abdullah berkata: “Ia inisiatif bersendirian dan kerajaan tidak melarang apa jua usaha ke arah kebaikan.”

Mengenai komen Dr Mahathir yang mahu kerajaan membetulkan beberapa kesilapan, Abdullah berkata: “Apa yang salah, kita akan betulkan. Jadi, kita perlu terima apabila kita perbetulkan.”

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, hikmah kerajaan tidak sama dengan hikmah individu.

“Ini suatu fakta. Ini suatu perkara yang diketahui. Kita melihat dari sudut yang luas. Kita buat keputusan yang terbaik pada waktu itu.

“Perkara yang kita ingat tidak ada masalah dulu, sekarang menjadi masalah besar seperti minyak dan kini gula pun harganya naik, kita pertahankan,” katanya.

Abdullah berkata, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan rakyat dalam membuat keputusan jika tidak mahu ‘dihukum’ menerusi keputusan pilihan raya.

Ditanya apakah kerajaan mempunyai sebarang perbincangan dan perjanjian untuk meneruskan dasar yang dibuat ketika kepemimpinan Dr Mahathir, Abdullah berkata:

“Ada persefahaman terbuka bahawa saya akan meneruskan dasar kerajaan. Barisan Nasional (BN) ini bergerak berasaskan kesinambungan dari zaman dulu lagi.”

Abdullah berkata, kerajaan bagaimanapun memperbaharui pendekatan bagi melaksanakan semua dasar yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita buat pengubahsuaian pada projek dan program yang kita hendak laksanakan. Kita guna pendekatan baru, kita ambil kira pendirian rakyat,” katanya.

Ditanya apakah kerajaan akan mengklasifikasikan dokumen rasmi lain bagi memberi penjelasan terutama berhubung isu penjualan MV Agusta, Abdullah berkata:

“Saya tidak fikir ada lagi. Saya tidak tahu jika ada lagi dokumen lain perlu diklasifikasikan seperti penjualan MV Agusta,” katanya.

Comments

No comments yet.

RSS feed for comments on this post.

Leave a comment

Sorry, the comment form is closed at this time.

Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Jay of onefinejay.com