BH July 14: Singapura tak sepenuh hati setuju syor Dr M
Singapura tak sepenuh hati setuju syor Dr M
Selepas jambatan itu siap, Tambak Johor akan dirobohkan. Dr Mahathir seterusnya mencadangkan bahawa sekiranya Singapura tidak mahu membina jambatan di sebelahnya, Malaysia bercadang untuk membina jambatan di kawasannya sendiri. Sebaik saja jambatan itu siap, Tambak Johor sebelah Malaysia akan dirobohkan.
Pada 11 April 2002, Perdana Menteri Goh Chok Tong membalas surat itu dan menyatakan persetujuannya, walaupun beliau lebih gemar kepada cadangan jambatan penuh. Bagaimanapun, cadangan ini dibuat dalam konteks pendekatan berpakej untuk isu dua hala yang tertunggak, yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut lagi pada peringkat Menteri dan Pegawai Kanan.
Pada 7 Oktober 2002, Dr Mahathir memberitahu Goh bahawa Malaysia membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan isu-isu tertunggak secara berpakej dan hendak memberi tumpuan kepada penyelesaian isu air yang sudah lama tertangguh, terutama isu penyemakan semula harga air mentah yang dibekalkan kepada Singapura. Pendekatan ini diambil kerana tiada kemungkinan dapat dicapai persetujuan dalam menyelesaikan isu ini secara berpakej.
Pada 14 Oktober 2002, Goh bersetuju untuk tidak meneruskan perbincangan mengenai isu tertunggak ini secara berpakej. Singapura menarik balik persetujuan yang diberikan untuk pembinaan jambatan bengkok yang dilakukan dalam konteks penyelesaian secara berpakej dan menyatakan persetujuan yang diberikan terlebih dulu untuk projek jambatan kini tidak boleh dipakai lagi.
Goh menulis: “… Saya sebenarnya bersedia untuk memberi konsesi (concessions) dengan mengubah suai Points of Agreement (POA) dengan beberapa bidang tanah tambahan, membenarkan pengeluaran awal bagi caruman Central Provident Fund (CPF) dan untuk membina jambatan di kawasan kami untuk menggantikan Tambak Johor dengan kos yang ditanggung oleh kami sendiri, sebagai pertukaran (trade off), supaya anda boleh memberi kepada kami ruang udara dan air pada masa depan pada harga yang berpatutan.
“Oleh kerana anda kini mahu membincangkan isu air secara berasingan dan tidak meneruskan pendekatan berpakej, pertukaran (trade off) kini tidak boleh dilakukan.”
Kesannya, surat ini menunjukkan bahawa kedua-dua pihak kini kembali kepada status quo. Kenyataan Goh tidak disangkal oleh Dr Mahathir. Malah, Dr Mahathir tidak menjawab surat Goh.
Singapura kemudian mengulangi pendiriannya dalam Nota Diplomatik pada 29 November 2004, ketika Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bukit Chagar sedang dibina.
Ia menyatakan: “… rundingan yang berdasarkan pakej ini secara unilateral dihentikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 7 Oktober 2002.”
Dengan terhentinya perundingan isu berpakej ini, persetujuan Singapura untuk jambatan bengkok tidak lagi wujud.
Kesimpulan: Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa Singapura menerima cadangan Malaysia untuk membina jambatan bengkok dalam wilayahnya. Persetujuan Singapura bagi Malaysia membina jambatan bengkok adalah sebaik-baiknya, suatu persetujuan yang diberikan secara tidak rela hati sepenuhnya dan dilakukan semata-mata berdasarkan pendekatan berpakej.
